Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan majlis penyampaian zakat berjumlah RM70,000.00 di bawah Program Ehsan TH sempena Ramadan 1434H ini kepada 140 orang golongan asnaf dari seluruh Negeri Sabah. Majlis penyampaian tersebut telah disempurnakan oleh YB. Datuk Haji Abdul Azeez bin Abdul Rahim, Pengerusi TH yang diadakan di TH Hotel, Kota Kinabalu, Sabah.
Pada tahun ini, TH mensasarkan agihan zakat berjumlah RM1.6 juta kepada lebih daripada 3,000 orang golongan asnaf di seluruh negara. Kota Kinabalu, Sabah merupakan lokasi kedua selepas Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi tahun 2013M / 1434H majlis tersebut diadakan dan akan disusuli dengan lokasi-lokasi lain di seluruh negara. Penerima pada hari ini menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 setiap seorang.