Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan Latihan Kecemasan Kebakaran di Bangunan Satelit, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai langkah memastikan pergerakan jemaah haji negara teratur sekiranya berlaku insiden kebakaran ketika Operasi Haji Tanah Air 1440H/ 2019M. Latihan ini diadakan sebagai langkah persediaan dan menguji tahap keberkesanan lapangan terbang tersebut mengendalikan insiden kecemasan.
Latihan ini telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Suhaimi Abdul Mubin, Pengurus Besar Kanan MAHB dan dihadiri lebih 600 peserta termasuk pihak-pihak berkepentingan seperti TH Travel & Services, Pejabat Kesihatan KLIA dan Politeknik Nilai.
Sehingga kini, tujuh latihan kecemasan kebakaran telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Melaka, Lapangan Terbang Mulu, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Limbang dan Lapangan Terbang Lahad Datu.
Turut hadir pada latihan tersebut adalah YBhg. Dato' Ahmad Ruzman Ahmad Razali, Pengurus Besar Operasi Domestik merangkap Timbalan Pengarah Gerakan OHTA, pegawai-pegawai MAHB dan anggota-anggota OHTA TH.