KLANG, 8 SEPTEMBER 2024: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menganjurkan Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) secara berperingkat di lebih 70 buah masjid terpilih di seluruh negara bermula daripada 31 Julai sehingga 8 September 2024.
Dengan mengangkat tema “Haji dan Hijrah”, program ini menghimpunkan kembali para jemaah haji bagi tahun 1445H yang lalu dengan tujuan untuk memperkukuh jalinan silaturahim ke arah jemaah haji yang soleh dan musleh.
Majlis Penutup Program HISHAJ Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Masjid Kampung Raja Uda, Klang telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman bersama barisan pengurusan kanan TH.