SEPANG, 21 JULAI 2024 – Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia seramai 270 orang telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.30 malam semalam menandakan operasi haji bagi Musim Haji 1445H/2024M secara rasminya telah berakhir. Kumpulan terakhir daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putra Mohammad bin Abdulaziz, Madinah pada 20 Julai, jam 9.10 pagi (waktu Arab Saudi) dengan menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8389).
Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman serta barisan pengurusan kanan hadir untuk menyambut ketibaan kumpulan jemaah tersebut di KLIA.