SEPANG, 29 OGOS 2018: Lembaga Tabung Haji ( TH ) hari ini menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah dari tanah suci bagi Musim Haji 1439H|2018M di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut hadir menyambut kepulangan kumpulan pertama ini ialah Tuan Haji Mohd Hisham Harun, Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1439H|2018M.
Fasa Kedua Operasi Haji ini bermula dengan penerbangan balik pertama pesawat FLYNAS (XY7604) yang berlepas pada hari ini, Rabu, 29 Ogos 2018 (3:46 pagi; waktu Arab Saudi) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah. Penerbangan yang membawa seramai 497 orang Jemaah Haji ini tiba di KLIA pada pukul 7:00 malam (waktu Malaysia).
Pengurusan TH mengambil kesempatan mengucapkan selamat kembali ke tanah air dan bersalaman dengan para jemaah haji yang tiba di KLIA. Ketibaan para jemaah haji juga disambut gembira oleh ahli keluarga dan sanak saudara masing-masing yang membanjiri balai ketibaan KLIA sejak pukul 3:00 petang lagi