SEPANG, 18 JULAI 2022 – Kumpulan pertama yang terdiri daripada 298 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.05 pagi hari ini menerusi penerbangan Saudia Airlines SV 5612 yang berlepas dari Jeddah jam 7.10 malam (waktu Arab Saudi) pada 17 Julai 2022.
Sebanyak 49 penerbangan menerusi Malaysia Airlines (MH) dan Saudia Airlines (SV) disediakan bagi membawa kesemua 14,305 jemaah haji pulang ke tanah air bermula 17 Julai hingga 13 Ogos 2022.
Penerbangan terakhir menerusi MH 8351 dijadualkan berlepas dari Madinah pada 12 Ogos , jam 11.10 malam (waktu Arab Saudi) dan dijangka tiba di KLIA pada jam 1.30 petang (waktu Malaysia) keesokan hari dengan membawa pulang 284 jemaah haji.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata operasi haji bagi tahun 1443H/2022M berjalan dengan lancar.
"Alhamdulillah operasi haji bagi tahun 1443H/2022M berjalan lancar dan semua jemaah haji kita dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, selesa dan teratur,” kata YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
"Walaupun cuaca agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah celcius, jemaah haji tetap melaksanakan ibadat dengan tertib dan mempamerkan disiplin yang tinggi,” kata beliau dalam sidang media di KLIA di sini hari ini.
Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit terutama Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi di Malaysia.
“TH amat berterima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta semua agensi yang terlibat di dalam operasi tanah air dan di tanah suci antaranya pasukan Kementerian Kesihatan (MOH) yang komited memberikan khidmat terbaik demi menjaga kebajikan jemaah haji yang rata-rata mengalami kelesuan berjalan dan bergejala ringan akibat cuaca panas,” kata beliau.
Selain itu, Tan Sri berkata, seramai 24 jemaah haji Malaysia telah mendapat rawatan di Pusat Rawatan TH di Makkah, setakat Sabtu lalu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kastam dan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), serta beberapa agensi lain yang telah berpenat lelah membantu dalam melancarkan urusan serta pergerakan operasi haji tahun ini, termasuk Sahabat Maktab iaitu sukarelawan daripada kalangan jemaah haji yang banyak membantu TH ketika operasi haji di tanah suci.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin juga berkata, “TH akan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji dan akan membuat penilaian atas semua aspek operasi bagi penambahbaikan perkhidmatan, Insya-Allah,” kata beliau.
-Tamat-
298 Jemaah Haji Malaysia Kumpulan Pertama Selamat Tiba Di Tanah Air.pdf