KUALA LUMPUR, 23 Disember 2020 – Merujuk laporan akhbar bertajuk ‘Bakal Jemaah Kena Tanggung Sendiri Kenaikan Kos Haji' yang disiarkan Sinar Harian pada hari ini, 23 Disember 2020, terdapat kesilapan yang memetik kenyataan YB Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Antara lain, beliau diminta mengulas soalan media berkaitan kenaikan kos haji pada masa hadapan dan saranan kepada para pendeposit. Bagaimanapun, maklumbalas YB Menteri berkenaan soalan ini hanyalah saranan supaya para pendeposit tidak gusar dengan sebarang isu kos kerana ini akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pelbagai pihak yang terlibat termasuk di Arab Saudi dan seterusnya akan dibawa ke peringkat kabinet.
Untuk makluman semua, TH masih belum menerima sebarang pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan perincian musim haji tahun 1442H/2021M.
TH mohon agar orang ramai tidak salah faham susulan ralat dalam tajuk laporan tersebut.
-Tamat-