Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melaksanakan Program Ikhtiar TH dengan peruntukan sebanyak RM150,000.00 kepada usahawan asnaf yang layak daripada pelbagai industri.
Tuan Haji Mohd Sawal Abong, Pengarah TH Negeri Selangor disertai YBhg En Huzairi b Ibrahim , Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah, LZS hadir menyerahkan sumbangan kepada semua 9 orang usahawan asnaf dari beberapa daerah di Selangor yang rata-ratanya terlibat dalam industri makanan, runcit dan perikanan.
“Melalui bantuan zakat sebagai suntikan modal perniagaan, TH dan LZS berharap Program Ikhtiar ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan asnaf di negeri ini. Seterusnya, memastikan asnaf mampu berdikari dan memperbaiki kehidupan mereka dan keluar dari di belenggu kemiskinan,” kata Mohd Sawal.
Sumbangan yang diserahkan melalui Program Ikhtiar TH ini bertujuan memberi bantuan suntikan modal untuk membolehkan usahawan asnaf memula dan/atau meningkatkan perniagaan berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Antara objektif utama program adalah untuk membantu usahawan asnaf meningkatkan sumber pendapatan tambahan yang membolehkan mereka menaiktaraf hidup dan sosio ekonomi sedia ada.
Sejak tahun 2015, lebih 80 usahawan asnaf telah menerima bantuan melalui Program Ikhtiar TH dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat. Program seumpama ini jelas memperlihatkan keprihatinan TH terhadap keperluan masyarakat setempat khususnya golongan asnaf.
Turut hadir dalam majlis ini, pengurusan kanan LZS, ahli keluarga para penerima serta anggota-anggota TH.
12122018_PR-TH SUNTIK MODAL LEBIH RM150 RIBU KEPADA ASNAF NEGERI SELANGOR.pdf