KUALA LUMPUR, Rabu, 12 Disember 2012: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan kutipan sumbangan kepada Tabung Tangisan Gaza, berjumlah RM20,500.00 kepada wakil Jabatan Perdana Menteri (JPM), di ibu pejabatnya di Jalan Tun Razak, malam tadi.
Kutipan sumbangan ini telah dijalankan sebagai tanda simpati, sokongan dan keprihatinan Anggota TH terhadap inisiatif Kerajaan dalam menyokong perjuangan serta membantu meringankan penderitaan yang dilalui oleh rakyat Palestin, terutama sekali mereka yang mendiami kawasan Tebing Gaza. Kutipan untuk tabung ini diharap dapat membantu pembelian barangan keperluan seperti ubat-ubatan, makanan dan pakaian.
Sumbangan Anggota TH ini telah diserahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Paduka Ismee Ismail kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Othman Haji Mahmood. Turut hadir menyaksikan penyerahan ini ialah Pengurus Besar, Yayasan Keamanan Global Perdana, Tuan Haji Shamsul Azhar.
“Kami di Tabung Haji (Anggota TH) berasa amat simpati dengan penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin serta sentiasa menyokong segala inisiatif Kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Adalah diharapkan sumbangan daripada Anggota TH ini dapat membantu meringankan penderitaan yang mereka lalui,” kata Dato’ Paduka Ismee Ismail.
Tabung Tangisan Gaza, Jabatan Perdana Menteri ini telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak semasa perhimpunan JPM pada 3 Disember yang lalu. Menyokong inisiatif ini kutipan telah di jalankan dikalangan Anggota TH di Ibu Pejabat, Pejabat Negeri dan Cawangan diseluruh Malaysia serta surau TH. Lembaga Tabung Haji adalah sebuah Badan Berkanun di bawah Jabatan Perdana Menteri.
-Tamat-