Bayan Lepas, Rabu, 16 November 2016 : Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM155,000 kepada 310 orang pelajar dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Progam Iqra’ 2016 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Dewan Mutiara, TH Hotel, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Para pelajar dari 15 buah sekolah rendah dan menengah terpilih di sekitar Daerah Barat Daya ini menerima sumbangan berjumlah RM500 setiap seorang, berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai berjumlah RM300. Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Tuan Haji Mohamad bin Abas, Pengarah TH Negeri Pulau Pinang.
“Sumbangan bantuan Program Iqra’ disalurkan melalui bidang pendidikan kerana bidang ini dilihat sebagai pembolehubah penting dalam memajukan seseorang individu, masyarakat dan negara. Dalam era kemajuan dan globalisasi ini, masyarakat yang berpendidikan adalah aset penting negara bagi memastikan kelestarian dan kelangsungan pembangunan”, kata Tuan Haji Mohamad bin Abas.
Program Iqra’ yang mensasarkan para pelajar asnaf seluruh negara ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh TH setiap tahun. Pada tahun ini, TH mengunjurkan pengagihan zakat pendidikan berjumlah RM2 juta kepada 4,000 pelajar daripada 178 sekolah di seluruh negara.
Sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial TH terhadap golongan asnaf dan kurang bernasib baik, program ini turut dilihat sebagai usaha menyokong inisiatif Kerajaan dalam membangun serta melestarikan komuniti Islam negara. TH berharap sumbangan ini dapat mendorong dan memberi motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, sekaligus menjadi pemangkin perubahan ke arah meningkatkan taraf sosio ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.
Turut hadir sama dalam majlis berkenaan adalah pengetua–pengetua, guru-guru sekolah terpilih serta anggota TH.
-Tamat-