KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER 2024: Musabaqah Kelab TaHa Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2024 telah menyaksikan Muhammad Irfan Syakir Romainor yang mewakili Wilayah Selatan dan Nur Aufa Hanis Nazri mewakili Wilayah Utara telah dinobatkan sebagai Johan Qari dan Qariah. Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan baucar pakej percutian domestik bernilai RM500
Program anjuran TH yang telah diadakan pada 29 Oktober di Dewan Besar TH, Menara TH Jalan Tun Razak ini juga disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi TH.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman. Turut hadir ke program tersebut adalah barisan Pengurusan Kanan TH, di samping ibu bapa serta guru pengiring yang memberi sokongan kepada para peserta.
Syed Hamadah berkata penganjuran program ini bertujuan membantu melahirkan generasi celik Al-Quran di samping menjadi wadah untuk TH memainkan peranan memartabatkan Al-Quran dalam kehidupan anak-anak remaja terutamanya dalam mendepani cabaran dunia digital masa kini.
“Alhamdulillah, dalam penganjuran program sepanjang dua tahun lepas, kita telah menyaksikan anak-anak sekecil sembilan dan 11 tahun menjadi Johan dan Naib Johan atas kehebatan mereka mengalunkan ayat suci Al-Quran. Buat pertama kalinya tahun ini, kita membuka penyertaan kepada ahli-ahli remaja yang berusia 13-17 tahun daripada ahli TaHa Bestari,” jelas Syed Hamadah.
“Kami berharap dengan penganjuran majlis seperti ini, ia menjadi langkah awal dalam menerapkan asas Al-Quran kepada diri anak-anak sejak kecil lagi selain melahirkan anggota masyarakat yang hidupnya sentiasa berpaksikan agama sebagai tunjang kehidupan, insya-Allah,” tambah beliau lagi.
Musabaqah Kelab TaHa Peringkat Kebangsaan menyaksikan lima peserta lelaki dan lima peserta perempuan bersaing untuk merebut gelaran Johan peringkat Kebangsaan bagi kategori Qari dan Qariah.
Peserta yang terpilih merupakan Johan Qari dan Qariah dari wilayah masingmasing iaitu Wilayah Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Sabah/Sarawak. Penganjuran di peringkat Negeri dan Wilayah telah dilaksanakan sejak bulan Mei lepas dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah di setiap negeri dengan lebih 1,000 penyertaan diterima.
Alunan bacaan Al-Quran setiap peserta telah dinilai secara profesional oleh barisan hakim yang dianggotai oleh Ustazah Sofizah binti Mousin, Johan Qariah Tilawah Antarabangsa 2022 serta dua orang juri daripada Lembaga Tabung Haji.
Sementara itu, johan Qari, Muhammad Irfan Syakir (16) daripada Selandar, Melaka berkata beliau sangat bersyukur kerana telah dipilih sebagai juara Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan bagi kali ini dan tidak menyangka usaha kerasnya dalam mendalami ilmu Al-Quran membuahkan hasil.
“Setiap hari saya akan peruntukan sekurang-kurangnya tiga jam untuk membaca Al-Quran, memantapkan tajwid dan melatih alunan taranum bacaan saya. Dari sudut suara pula, saya memang elakkan daripada minum minuman berais dan makanan berminyak bagi memastikan suara saya lancar dan Alhamdulillah, usaha ini berbaloi,” jelas beliau.
Bagi johan kategori Qariah, Nur Aufa Hanis (14) yang berasal dari Kulim, Kedah berkata kemenangan ini merupakan kemenangan yang amat bermakna kerana ini merupakan kali pertama beliau dinobatkan sebagai juara peringkat kebangsaan setelah menyertai pelbagai pertandingan tilawah Al-Quran sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana telah membanggakan ibu bapa saya. Setiap minggu saya berulang daripada Kulim ke Baling untuk belajar mengaji dengan guru juga ibu saudara saya, Hasnah Ayob yang telah banyak mengajar serta membimbing saya terutamanya daripada sudut bacaan dan penafasan saya,” ujar beliau.
“Saya sangat berharap TH dapat meneruskan program-program seumpama ini pada masa akan datang kerana ianya sangat bagus dalam mendekatkan generasi muda seperti saya kepada Al-Quran serta mendidik cara bacaan tajwid dan taranum yang betul,” tambah beliau lagi.
-TAMAT-