SEPANG, 25 OKTOBER 2023: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini meneruskan usaha digitalisasinya dengan melancarkan aplikasi e-bimbingan Haji bagi memudahkan urusan pembelajaran bakal jemaah haji termasuklah petugas haji serta Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata e-Bimbingan Haji sebelum ini hanya boleh dilayari menerusi portal, tetapi kini aplikasi berkenaan boleh dimuat turun ke telefon bimbit dan boleh diakses dengan mudah oleh bakal jemaah haji mulai 27 Oktober 2023.
“Kandungan pembelajaran bagi e-Bimbingan Haji yang disampaikan dalam bentuk video, infografik, e-Buku, persembahan slaid, audio dan kuiz akan memudahkan dan memberi pemahaman yang lebih berkesan buat bakal-bakal jemaah haji, insya-Allah,” kata YB Dato’ Setia.
“Pembangunan aplikasi ini adalah antara inisiatif digitalisasi TH dalam urusan haji untuk memastikan agar bakal jemaah haji dapat mengakses informasi mengenai haji dengan lebih mudah, seiring dengan keperluan zaman teknologi kini yang telah menjadi sebahagian daripada norma baharu kehidupan hari ini,” tambah YB Dato’ Setia di Majlis Penutup Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-40 yang diadakan di Movenpick Hotel & Convention Centre.
Pelancaran aplikasi e-bimbingan merupakan kesinambungan usaha TH untuk terus menambah baik perkhidmatannya dengan menawarkan khidmat melalui perantara digital.
Pada tahun lepas, TH telah melancarkan aplikasi THHujjaj untuk membantu jemaah dengan informasi pergerakan dan lokasi.
Manakala Hajj Mobility pula membantu petugas memantau semua pergerakan jemaah terutama dalam menyusun pengangkutan dan penginapan.
Perkhidmatan e-Taib pula dilancarkan pada 2021 bagi membantu jemaah haji bersoal-jawab mengenai hukum-hakam dan perjalanan ibadat haji secara digital, melalui telefon atau peranti mudah alih lain.
Muzakarah Haji ke-40 yang bertemakan ‘Ibadah Yang Sahih Asas Kemabruran Haji’ berlangsung selama tiga hari bermula dari 23 sehingga 25 Oktober 2023 bagi membincangkan hal ehwal berkaitan bimbingan serta hukum-hakam ibadat haji yang timbul semasa musim haji 1444H lalu dan mencari penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah selain memberi peluang kepada para PEKTA dan ilmuan agama seluruh negara untuk berkumpul berkongsi ilmu dan pengalaman serta menetapkan keseragaman hukum-hakam.
Sebanyak lima (5) kertas kerja telah dibentangkan dan antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai pelaksanaan Mabit di Mina bagi jemaah haji disebabkan oleh kesesakan penempatan dan faktor-faktor luar kawalan menurut pandangan syarak yang melibatkan jemaah haji Malaysia berikutan peningkatan jumlah jemaah haji dari seluruh dunia.
“Saya berharap resolusi yang telah dikeluarkan akan menjadi panduan kepada pihak pengurusan Tabung Haji bagi merangka strategi operasi haji akan datang dengan baik dan efektif agar terus kekal sebagai pengendali haji bertaraf dunia,” kata YB Dato’ Setia.
Selain itu, YB Dato’ Setia juga berharap agar TH dan para Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air akan terus memberikan pencerahan mendalam akan konsep konsep Istito’ah atau syarat kemampuan menunaikan haji kepada bakal jemaah haji.
“Ini kerana ramai di kalangan bakal haji yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapat peluang pergi haji sedangkan syarat wajib itu gugur sekiranya mereka tidak memenuhi enam (6) syarat kemampuan yang digariskan hukum syarak,” jelas YB Dato’ Setia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman berkata, “TH akan berusaha memastikan agar semua resolusi yang telah dihasilkan daripada Muzakarah ini akan benar-benar difahami oleh para para PEKTA dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) seterusnya disampaikan kepada semua bakal haji dengan sejelas-jelasnya semasa kursus-kursus haji di Tanah Air yang akan bermula tidak lama lagi,” kata beliau.
TH juga akan menganjurkan Kursus Asas Haji bagi musim 1445H yang akan bermula pada 27 Oktober 2023 sebanyak 13 siri dan akan diadakan di 200 buah masjid terpilih seluruh negara setelah selesainya Muzakarah Haji ini.
Seterusnya, Kursus Intensif Haji akan di anjurkan pada bulan Februari 2024 (bulan Islam) manakala Kursus Perdana Haji pada bulan (bulan biasa 2024) Syawal untuk memberikan persediaan yang secukupnya kepada bakal-bakal haji dalam aspek ilmu agama pelaksanaan ibadat haji.
Muzakarah Haji tahun ini turut dihadiri oleh Pengerusi TH, Tan Sri Azman Haji Mokhtar, Pengarah Eksekutif Haji TH, YBhg Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAWHAR, Dato’ Selamat Paigo, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ahli-ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH-JAKIM (JPIH), PEKTA serta pegawai-pegawai TH.
-Tamat