KUALA TERENGGANU, 12 Oktober 2022: Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan Zakat Perniagaan berjumlah RM8,116,871.20 bagi tahun kewangan berakhir 2021 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
DYMM Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan menerima bayaran zakat tersebut bagi pihak MAIDAM yang telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBhg Dato’ Sri Amrin Awaluddin.
Dato’ Sri Amrin berkata pihak kami amat bersyukur kerana jumlah keseluruhan zakat TH 2021 sebanyak RM101 juta yang meningkat 1.41 peratus berbanding tahun sebelumnya walaupun TH terpaksa berhadapan dengan keadaan ekonomi yang sukar dan masih terkesan dari pandemik Covid-19.
“Bayaran zakat ini merupakan tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam yang prihatin. TH berharap zakat yang diagihkan ini akan dapat membantu serta memperbaiki kualiti kehidupan golongan asnaf di negeri Terengganu,” tambah beliau.
Turut hadir semasa majlis tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil, Sahibus Samahah Dato' Mufti Negeri Terengganu, Prof Madya Dr. Haji Mohamad Sabri bin Haron, Yang Dipertua MAIDAM, Yang Berhormat Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Yang Berusaha Prof Madya Dr Ahmad Azrin bin Adnan, dan Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH. Tuan Haji Mohamed Ameen Abdul Wahab.
-Tamat-