PULAU PINANG, 26 Ogos 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM 3,447,686.44 bagi tahun kewangan berakhir 2019 kepada Zakat Pulau Pinang dalam satu majlis ringkas di Seri Mutiara, kediaman Rasmi Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang telah berkenan menerima bayaran Zakat TH daripada YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Pengarah Eksekutif (Haji) TH. Bayaran zakat bagi negeri Pulau Pinang ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2018 (RM 3,446,420.49).
“Setiap tahun, TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah bagi manfaat golongan asnaf di negeri ini,” kata Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abd Rahman.
TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Zakat Pulau Pinang ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri Pulau Pinang bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf, tambahnya lagi. Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2019 terus mencatatkan peningkatan di seluruh negeri sebanyak RM86,185,327.00 berbanding RM85.570,873.00 pada tahun 2018.
Pada tahun ini, TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan,kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif ini juga diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd Rahman, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP); Tuan Haji Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP; Sahibus Samahah Dato’ Dr Wan Salim bin Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Tuan Haji Mohamad bin Abas, Pengarah TH Negeri Pulau Pinang; ahli-ahli lembaga pengarah ZPP dan anggota-anggota TH.
-Tamat-
TH Bayar Zakat Sebanyak RM3.45 Juta Kepada Zakat Pulau Pinang