KUALA LUMPUR, 14 OGOS 2024: Lembaga Tabung Haji (TH) telah dapat membantu 53 waris melalui pembayaran tuntutan sebanyak RM636,000, kira-kira setahun selepas melancarkan pelan pelindungan mampu milik TH Khairat.
TH Khairat dilancarkan bermula 31 Julai 2023 yang lalu kepada para pendeposit TH dan menawarkan pelindungan kematian atau hilang upaya kekal sebanyak RM12,000 dengan bayaran serendah RM28 setahun.
Sebanyak lebih 302,000 pendaftaran telah direkodkan sehingga hari ini oleh pengendali Takaful yang dilantik iaitu Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful).
Tuan Syed Hamadah Syed Othman, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata TH berharap bayaran tuntutan TH Khairat yang diterima oleh penerima manfaat ini dapat sedikit sebanyak membantu mereka menghadapi masa-masa sukar.
“Serahan tuntutan TH Khairat daripada pengendali Takaful kepada TH dalam majlis ini juga sebagai simbolik yang mencerminkan komitmen TH bersama Takaful Malaysia dan HLM Takaful untuk memastikan setiap tuntutan yang layak diproses dengan cepat supaya dapat disalurkan kepada waris atau penerima manfaat dengan kadar segera,” jelas beliau ketika ditemui di dalam Majlis Simbolik Serahan Tuntutan TH Khairat di Menara TH Tun Razak yang diadakan semalam.
“Menerusi kerjasama dengan TH dalam menawarkan TH Khairat ini menandakan komitmen kami untuk menyediakan perlindungan Takaful mampu milik khusus bagi memenuhi keperluan para pendeposit TH. Kami komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan TH Khairat dengan memastikan urusan tuntutan perlindungan takaful ini berjalan lancar bagi membantu penerima manfaat atau waris menguruskan keperluan kewangan dan kelangsungan hidup melalui pampasan yang diperoleh,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Encik Nor Azman Zainal.
“Kami amat bersyukur di atas sambutan yang memberangsangkan dari lebih 100,000 ribu pendeposit TH yang dikendalikan kami dalam tahun pertama produk ini dilancarkan. Penyelesaian pantas tuntutan yang telah membantu beberapa keluarga peserta TH Khairat setakat ini, serta komitmen tinggi TH untuk meningkatkan publisiti semestinya akan memacu pencapaian yang lebih tinggi dalam tahun ini dan seterusnya. Kami di HLM Takaful sangat teruja untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya yang belum mempunyai perlindungan Takaful untuk memilih TH Khairat sebagai pelan perlindungan asas mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HLM Takaful, Mohd Asri Omar.
TH mengalu-alukan pendepositnya untuk melanggan TH Khairat ini demi manfaat orang yang tersayang dengan bayaran yang rendah dan mampu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat.
TH akan terus komited dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada dan memperkenalkan perkhidmatan baharu yang memberi manfaat kepada pendeposit pada masa akan datang.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan ini, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
-TAMAT-