KELANTAN, Rabu, 17 Julai 2013: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan majlis penyampaian zakat berjumlah RM132,000.00 di bawah Program Ehsan TH sempena Ramadan 1434H ini kepada 264 orang golongan asnaf dari daerahdaerah di Negeri Kelantan. Majlis penyampaian tersebut telah disempurnakan oleh YB. Datuk Haji Abdul Azeez bin Abdul Rahim, Pengerusi TH yang diadakan di Hotel Raudhah, Kota Bharu, Kelantan.
Pada tahun ini, TH mensasarkan agihan zakat berjumlah RM1.55 juta kepada lebih daripada 3,000 orang golongan asnaf di seluruh negara. Kota Bharu, Kelantan merupakan lokasi ketiga selepas Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sabah serta akan disusuli dengan lokasi-lokasi lain di seluruh negara. Penerima sumbangan pada hari ini menerima sumbangan wang tunai RM500 setiap seorang.
YB. Datuk Haji Abdul Azeez bin Abdul Rahim di dalam ucapannya berkata “Projek Ehsan yang diadakan pada bulan Ramadan setiap tahun adalah bersifat serampang dua mata. Program ini bertujuan membantu golongan fakir miskin, ibu dan bapa tunggal, warga emas dan orang kurang upaya. Dalam masa sama, ianya juga menjadi platform kepada TH untuk mendekati dan mengeratkan lagi silaturrahim serta memahami permasalahan yang dihadapi oleh komuniti setempat”.
TH sentiasa beriltizam untuk menggalas tanggungjawabnya dengan baik terutama dalam soal pembayaran zakat kepada setiap negeri di seluruh Malaysia. Program-program tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan oleh TH jelas memperlihatkan sifat prihatin dan tanggungjawab terhadap keperluan masyarakat Islam setempat khususnya golongan asnaf.
Pihak TH berharap sumbangan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima dan membantu mereka pada bulan Ramadan ini serta persediaan menyambut ketibaan Aidilfitri.
Selain Program Ehsan ini, TH juga turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang lain untuk manfaat dan kesejahteraan komuniti Islam setempat khususnya golongan asnaf seperti Projek Baiti (program pembinaanrumah), Projek Afiat (program kesihatan) serta Projek Iqra (program pendidikan) di seluruh negara.
Majlis ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Mohd Nasir bin Mohd Yusoff, Pengarah TH Kelantan, para pegawai TH serta keluarga penerima.
-Tamat-