SEPANG, 5 JULAI 2023 : Kumpulan pertama yang terdiri daripada 280 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.45 malam hari ini menerusi penerbangan AMAL by Malaysia Airlines (MH 8261) yang telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz (KAIA) Jeddah pada jam 7.15 pagi (waktu Arab Saudi) pada hari yang sama.
Ketibaan jemaah haji negara telah disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Tabung Haji (TH) Tuan Syed Hamadah Syed Othman dan Pengurusan Kanan TH di balai ketibaan KLIA.
Tuan Syed Hamadah turut mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan selamat pulang serta tahniah kepada para jemaah haji yang telah selesai melaksanakan rukun Islam ke lima pada musim haji tahun ini.
“TH amat bersyukur kerana operasi musim haji tahun ini berjalan dengan baik tanpa sebarang musibah berlaku. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jemaah haji atas segala kerjasama baik yang diberikan sejak dari Tanah Air sehingga ke Tanah Suci.
Tidak lupa juga penghargaan kami kepada ahli keluarga jemaah haji, serta rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan jemaah haji negara semasa berada di Tanah Suci,” kata Tuan Syed Hamadah.
“Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi terutamanya Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang telah mengambil langkah-langkah proaktif terutamanya dari segi keselamatan dalam memastikan kelancaran pergerakan jutaan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadat haji pada tahun ini,” tambah beliau.
Operasi haji musim 1444H/2023M turut disokong oleh pelbagai agensi kerajaan, badan korporat serta individu yang menyumbang masa dan tenaga sebagai sukarelawan.
“TH mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan terutamanya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad, Jabatan Kastam dan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Sahabat Maktab yang merupakan sukarelawan daripada kalangan jemaah haji yang banyak membantu TH ketika operasi haji di Tanah Suci serta semua agensi lain yang terlibat membantu melancarkan urusan serta pergerakan operasi haji tahun ini,” kata beliau.
Tuan Syed Hamadah turut menzahirkan ucapan takziah beliau kepada keluarga Allahyarham dan Allahyarhamah jemaah haji yang telah kembali ke rahmatullah di Tanah Suci.
“Takziah kepada keluarga arwah jemaah haji dan saya mendoakan agar roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat, diberikan ganjaran oleh Allah SWT serta dikurniakan syurga firdaus kepada mereka.
Kami mendoakan keluarga mereka terus tabah menghadapi ujian ini,” kata beliau.
Untuk makluman, seramai 69 Jemaah Haji Malaysia telah mendapat rawatan di Pusat Rawatan TH di Makkah serta seramai 6 orang telah meninggal dunia.
Beliau juga menjelaskan bahawa TH akan mengadakan sesi pasca nilai (post-mortem) bagi menilai secara terperinci perjalanan operasi musim haji tahun ini dan maklumbalas yang diterima daripada semua 18 sektor operasi.
“Pasca nilai ini amat penting dalam usaha TH memperbaiki setiap kelemahan demi mempertingkatkan perkhidmatan dan menambah baik segala langkah kerja demi kesejahteraan jemaah haji di masa hadapan,” tambah beliau.
“TH sentiasa prihatin terhadap kebajikan jemaah haji negara dan kami akan akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya lagi.
Sebanyak 98 penerbangan menerusi AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines disediakan bagi membawa kesemua jemaah haji pulang ke tanah air bermula 5 Julai hingga 31 Julai secara berperingkat.
-Tamat-