Lembaga Tabung Haji (TH) kini dalam fasa terakhir persiapan bagi menyambut ketibaan kumpulan pertama Jemaah Haji Malaysia yang dijadualkan tiba pada hari Khamis, 4 Julai 2019 (12:00 tengah hari) bagi mengerjakan ibadah haji 1440H/2019M.
Pengarah Operasi Madinah, Tuan Haji Affandi Abdullah berkata, persiapan kumpulan Petugas Haji di Madinah kini berada pada tahap 90 peratus dan bersedia untuk menyambut kedatangan kumpulan pertama seramai 480 jemaah haji pada hari esok, Khamis.
“Pada tahun ini, Jemaah Haji Malaysia akan tiba di lapangan terbang Madinah secara berperingkat dan akan melalui proses pra-perlepasan yang telah dilaksanakan di Tanah Air. Kita juga berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang mengekalkan Makkah Route bagi memastikan kelancaran urusan pergerakan Jemaah Haji Malaysia.” Pengekalan Makkah Route oleh Kerajaan Arab Saudi pada musim haji kali ini adalah kesinambungan kelancaran proses pra-perlepasan Jemaah Haji Malaysia yang mula diperkenalkan sejak musim haji tahun lalu.
Bagi musim haji kali ini, beliau berkata TH telah menyediakan lima (5) bangunan penginapan jemaah haji (BPJH) yang terbahagi kepada tiga pusat perkhidmatan zon yang terletak di sekitar 200 meter dari Masjid An-Nabawi.
Beliau turut menyentuh mengenai kesediaan pusat rawatan dan juga aktiviti ziarah dalam dan luar. Kesemua aspek operasi telah bersedia untuk memastikan para dhuyufurrahman pada musim haji kali ini diberi perhatian sepenuhnya agar mereka dapat menumpukan kepada ibadah tanpa ada kerisauan dan menjalaninya dengan sempurna.
“Para jemaah haji dinasihatkan untuk membuat persediaan dari segi mental dan fizikal memandangkan sama seperti musim haji terdahulu, cuaca di Madinah juga agak panas. Justeru, TH berharap jemaah haji semua terus menjaga kesihatan sejak di Tanah Air lagi. Bekalan ubatan lazim hendaklah dibawa dan diambil mengikut keperluan,” tambah beliau lagi.
3 Julai 2019_PR_Persiapan Sambutan Jemaah Haji di Tanah Suci.pdf