SEPANG, 22 JUN 2022: Pelaksanaan Program Pra pelepasan Jemaah Haji atau ‘Makkah Route’ bagi Jemaah Haji Malaysia pada tahun ini melambangkan kepercayaan Kerajaan Arab Saudi kepada pengurusan Lembaga Tabung Haji disamping disiplin tinggi oleh jemaah haji negara.
Malaysia merupakan antara negara pertama di dunia untuk melaksanakan program perintis bagi Makkah Route pada tahun 2017 dan program ini telah diteruskan pada tahun 2018, 2019 dan juga 2022. Malaysia merupakan di antara lima negara yang dipilih pada Musim Haji 1443H/2022.
Program Pra pelepasan ini ternyata berjaya memberi keselesaan kepada jemaah haji negara kerana setelah penerbangan selama lapan jam, mereka tidak perlu menunggu lama setiba di tanah suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam telah dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, Malaysia sememangnya amat berbesar hati kerana sekali lagi dipilih menyertai program Pra pelepasan atau Makkah Route di samping Maghribi, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh ketika meninjau proses pelaksanaan Makkah Route di KLIA hari ini.
“Jika kita lihat semula sejarah Makkah Route, Malaysia adalah diantara negara pertama yang dipilih oleh Kerajaan Arab Saudi untuk program perintis yang dilaksanakan pada 2017,” tambah beliau.
“Alhamdulillah, atas kejayaan program perintis dan program penuh Makkah Route pada tahun 2018 dan 2019, Arab Saudi sekali lagi memilih Malaysia untuk meneruskan program tersebut pada tahun ini,” katanya lagi.
Selain itu, beliau juga menambah bahawa disiplin yang tinggi di kalangan jemaah haji negara serta pengurusan yang teratur oleh TH adalah antara faktor di sebalik pemilihan Malaysia.
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji TH, Anuar Ahmad berkata Makkah Route telah banyak memudahkan urusan jemaah haji Malaysia dari segi penjimatan masa.
“Para jemaah Malaysia tidak lagi perlu melalui proses imigresen semasa tiba di Arab Saudi dan boleh terus menaiki bas ke hotel penginapan tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa sebaik tiba di Lapangan Terbang Arab Saudi,” kata beliau.
“Pasukan Imigresen dan Kastam Arab Saudi akan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyemak pasport jemaah haji, jadi apabila tiba di lapangan terbang Jeddah atau Madinah mereka tidak perlu lagi melalui proses imigresen dan kastam,” katanya lagi.
Setakat 21 Jun 2022, seramai 6,927 jemaah haji Malaysia sudah tiba di tanah suci melalui proses Makkah Route yang ternyata lebih cepat dan selesa.
Turut hadir meninjau proses tersebut di KLIA adalah Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qatta, Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen S.M.A Abdul Wahab dan barisan Pengurusan TH.
Penerbangan haji bagi Musim Haji 1443H ini merangkumi 48 penerbangan yang bermula pada Khamis, 4 Jun 2022 dan penerbangan akhir dijadualkan pada Ahad, 3 Julai 2022.
-Tamat-