SEPANG, 21 MEI 2024 – Lembaga Tabung Haji (TH) mengukuhkan lagi kepercayaan dan hubungan dua hala dengan Kerajaan Arab Saudi melalui Program Pra-Perlepasan Jemaah Haji atau ‘Makkah Route’ untuk tahun keenam pelaksanaannya.
Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Arab Saudi melaksanakan Makkah Route melalui program perintisnya pada tahun 2017. Ia kemudian diteruskan dengan program penuh pada tahun 2018, 2019, 2022 dan 2023. Pada tahun ini, Makkah Route telah diperluaskan keenam negara lain.
Majlis Pelancaran Makkah Route bagi Musim Haji 1445H/2024M telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).
Turut hadir adalah Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, TYT Mesaad Ibrahim Al Sulaim, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman serta barisan Pengurusan Kanan TH.
Ditemui ketika meninjau proses berkenaan, Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im berkata pelaksanaan Makkah Route telah banyak membantu mempermudahkan urusan jemaah haji negara kerana setelah melalui penerbangan selama lapan jam, mereka tidak lagi perlu menunggu lama setibanya di tanah suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam Arab Saudi telah diselesaikan di KLIA.
“Kerajaan Malaysia amat berbesar hati dan menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana sekali lagi dipilih bagi musim haji tahun ini untuk menyertai program Makkah Route di samping enam buah negara lain iaitu Indonesia, Maghribi, Pakistan, Bangladesh, Ivory Coast dan Turkiye”, kata beliau.
“Pemilihan Malaysia sekali lagi pada tahun ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan, di mana ia membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan pihak Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi haji yang dikendalikan oleh TH di samping tahap disiplin tinggi di kalangan jemaah haji negara turut menjadi penyumbang kepada faktor pemilihan Malaysia”, tambah beliau lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah berkata TH sentiasa meletakkan tahap profesionalisme yang tinggi ketika mengurus jemaah haji negara di samping komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para Dhuyufurrahman setiap tahun.
“Pelaksanaan Makkah Route ini telah meletakkan pengurusan haji TH di tahap yang cemerlang kerana ia ternyata memudahkan urusan jemaah haji dan ini dapat dilihat melalui peningkatan indeks kepuasan pelanggan yang direkodkan”, kata beliau.
“Pihak TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang menyambut baik usaha memperkukuhkan hubungan dua hala ini dan diharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan para Dhuyufurrahman. Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad atas sokongan yang diberikan dan penghargaan juga buat semua jemaah negara serta para pendeposit atas kepercayaan mereka kepada TH selama ini”, jelas beliau lagi.
Majlis pelancaran berlangsung ketika perlepasan bakal haji kumpulan ke-38 (KT038) yang membawa seramai 353 orang bakal haji ke tanah suci dari KLIA pada jam 2.15 pagi melalui pesawat Saudi Airlines SV 5013.
Sehingga 21 Mei 2024, seramai lebih 10,400 orang jemaah haji Malaysia sudah tiba di tanah suci melalui proses Makkah Route. Terdapat 100 penerbangan sewa khas bagi Musim Haji 1445H/2024M yang telah bermula pada 9 Mei 2024 dan penerbangan akhir dijadualkan pada Ahad, 9 Jun 2024 ini.
-TAMAT-