PULAU PINANG, 15 Mei 2019 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM 3,446,420.49 bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Zakat Pulau Pinang dalam satu majlis ringkas di Seri Mutiara, kediaman Rasmi Tuan Yang Terutama Tun Dato' (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang telah berkenan menerima bayaran Zakat TH daripada YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Pengurus Besar Kanan (Haji) TH. Bayaran zakat bagi negeri Pulau Pinang ini mencatatkan peningkatan sebanyak 24.9% berbanding tahun 2017 (RM 2,759,734.60).
“Setiap tahun, TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah terutama bagi golongan asnaf,” kata Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abd Rahman.
TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Zakat Pulau Pinang ke arah kemampanan program - program zakat yang dirangka di negeri Pulau Pinang bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf, tambahnya lagi. Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6% (RM85.57 juta) berbanding tahun 2017 (RM67.61).
Pada tahun ini, TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif tersebut diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Y.Bhg Dato’ Haji Sazali bin Hussein, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP); Sahibus Samahah Dato’ Dr Wan Salim bin Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Tuan Haji Abu Shukor bin Jangga, Pengarah TH Negeri Pulau Pinang; pegawai-pegawai ZPP dan anggota-anggota TH.
15052019_BAYARAN ZAKAT TH KEPADA ZAKAT PULAU PINANG MENINGKAT.pdf