ALOR SETAR, 14 Mei 2014 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM3,769,128.73 bagi tahun 2013 kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah, dalam satu majlis ringkas di Istana Anak Bukit, Alor Setar hari ini .
Pembayaran zakat bagi Negeri Kedah tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 9 peratus berbanding RM3,460,121.68 pada 2012. Pembayaran zakat perniagaan TH telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah.
Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2013 yang dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM46.29 juta berbanding RM41.21 juta (2012). Peningkatan jumlah keseluruhan pembayaran zakat ini adalah sejajar dengan prestasi pendapatan keseluruhan TH yang memberangsangkan bagi 2013. Bagi Negeri Kedah, pengagihan zakat yang diterimanya bagi tempoh tiga tahun berturut-turut adalah RM3,769,128.73 (2013), RM3,460,121.68 (2012) dan RM3,297,105.03 (2011).
Pembayaran zakat perniagaan merupakan kewajipan dan tanggungjawab TH sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam, selain memperlihatkan keprihatinannya sebagai sebuah institusi Islam ikonik negara dalam melestarikan ekonomi dan menjamin kemaslahatan ummah khususnya golongan asnaf.
Selain pembayaran kepada pusat-pusat zakat, TH turut mengagihkan zakatnya secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program-program 2 tanggungjawab korporat yang disusun atur sepanjang tahun bagi golongan tersebut seperti Program Ehsan, Program Iqra’ dan Program Baiti.
Turut berada di dalam majlis tersebut juga adalah YBhg. Dato’ Syeikh Ghazali Yaacob, Setiausaha Jabatan Zakat Negeri Kedah, Tuan Haji Ahmad Sohaimi Dato’ Abd. Rahim, Pengarah TH Negeri Kedah, pegawai-pegawai Jabatan Zakat Negeri Kedah dan TH.
- Tamat –
TH Serah Zakat Perniagaan 2013 Kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah