KUCHING, 8 Mei 2019 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM 1,671,204.03 bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Tabung Baitulmal Sarawak dalam satu majlis ringkas di Kediaman Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Demak Jaya, Jalan Bako , Kuching, Sarawak.
TYT Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak telah berkenan menerima bayaran Zakat TH daripada YBhg. Tan Sri Md Nor Yusof, Pengerusi TH. Bayaran zakat bagi negeri Sarawak ini mencatatkan peningkatan sebanyak 27.1% berbanding tahun 2017 (RM 1,314,606.41).
“Setiap tahun, TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah terutama bagi golongan asnaf,” kata Tan Sri Md Nor Yusof.
TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri Sarawak bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf, tambahnya lagi.
Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6% (RM85.57 juta) berbanding tahun 2017 (RM67.61). Pada tahun ini TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat Wakalah yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui pengagihan untuk tujuan pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif ini juga membolehkan TH menganjurkan program2 program tanggungjawab sosial korporatnya yang memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YB Datuk Dr. Haji Abd Rahman bin Haji Junaidi, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar - Kementerian Utiliti Sarawak; YBhg Datu Haji Misnu bin Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak; YBhg Datu Haji Abg Mohd Shibli bin Haji Abg Mohd Nailie, Pengurus Besar, Tabung Baitulmal Sarawak; Tuan Haji Mustakim bin Mohamad, Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan; Puan Hajah Zaiton Mohd Yusoff, Pengarah TH Negeri Sarawak; para pegawai Tabung Baitulmal Sarawak dan anggota-angota TH.