KUALA LUMPUR, 25 April 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengenalpasti hampir 500,000 (500 ribu) akaun pendeposit TH yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut. Ianya membabitkan jumlah simpanan sebanyak RM62.8 juta. Semua akaun ini akan diklasifikasikan sebagai ‘Akaun Tidak Aktif’ mulai 1 Jun 2018.
TH ingin menasihati para pendeposit untuk mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu (1) aktiviti transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter atau transaksi atas talian rakan strategik TH - Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank; dan membuat urusan simpanan di pelbagai saluran Ejen Kutipan TH sebelum 31 Mei 2018 di seluruh negara.
TH akan memindahkan akaun-akaun yang masih tidak diaktifkan ke dalam kumpulan ‘Akaun Tidak Aktif’ bermula 1 Jun 2018. Setiap tahun, TH sentiasa mengingatkan para pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, terkini dan mengemaskini data peribadi agar kepentingan dan kebajikan para pendeposit sentiasa terjaga.
Pengemaskinian maklumat pendeposit seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris adalah untuk kebaikan pemilik akaun dan penting untuk memudahkan TH menghubungi bakal-bakal haji atau waris untuk urusan surat penghantaran tawaran haji dan pengurusan harta.
Sekiranya pihak TH tidak dapat menghubungi pendeposit, bakal-bakal haji berkemungkinan akan terlepas giliran haji pada tahun berkenaan serta perlu menunggu pada tahun yang seterusnya untuk mengerjakan ibadat haji.
Pendeposit atau anak di bawah jagaan yang telah kehilangan buku akaun dipohon untuk datang ke mana-mana cawangan TH dengan membawa kad pengenalan/sijil kelahiran bagi tujuan semakan, penggantian buku baharu dan kemas kini maklumat.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) kami di 03-6207 1919.