TANJONG MALIM, 18 April 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini merasmikan Pejabat TH Cawangan Tanjong Malim, Perak yang telah disempurnakan oleh YB. Datuk Rosni Sohar, Ahli Lembaga Pengarah TH. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengurusan Kanan TH yang lain.
TH Tanjong Malim merupakan salah satu daripada 14 buah cawangan TH di negeri Perak. Cawangan ini memberi manfaat kepada lebih 22,000 orang pendeposit dan bakal jemaah haji di sekitar Daerah Tanjung Malim. Perpindahan cawangan ini adalah sejajar dengan inisiatif TH bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik dan selesa kepada komuniti sekitar Tanjong Malim dan persempadan Perak-Selangor.
Datuk Rosni Sohar, Ahli Lembaga Pengarah TH berkata, para pendeposit yang mempunyai akaun TH yang tidak aktif dinasihat untuk mengaktifkan akaun masing-masing antaranya dengan melakukan transaksi simpanan ataupun pengeluaran.
Pengaktifan akaun ini bagi membolehkan para pendeposit TH untuk mendapat kesemua manfaat serta hibah tahunan/hibah haji, tambahnya lagi.
Akaun-akaun yang tidak mempunyai sebarang transaksi selama tujuh (7) tahun akan diklasifikasikan sebagai akaun tidak aktif dan tidak layak untuk menerima sebarang manfaat.
Selain daripada pembukaan akaun TH, antara perkhidmatan lain yang ditawarkan di cawangan ini adalah urusan-urusan berkaitan haji, simpanan dan pengeluaran, hibah amanah dan penamaan waris.
TH sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat Islam selaras dengan visinya menjadi tonggak kejayaan ekonomi ummah. Ianya juga diharap dapat memberikan akses terbaik kepada para pendeposit dalam memperkasa dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan.
Sebagai langkah meningkatkan kualiti perkhidmatan yang berterusan, TH akan sentiasa mengambil perhatian terhadap segala maklumbalas daripada pendeposit dari masa ke semasa. Para pendeposit yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, mereka boleh berhubung terus dengan TH Contact Centre (THCC) di talian 03 - 6207 1919 atau emel kepada th-info@lth.gov.my.
-Tamat-