Pulau Pinang,17 April 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya kepada Zakat Pulau Pinang (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) berjumlah RM1,684,247.35.
Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang telah menerima zakat tersebut bagi pihak Zakat Pulau Pinang (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH bertempat di Sri Mutiara, Jalan Utama, Pulau Pinang.
Pengagihan zakat TH ini adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan oleh TH untuk tahun kewangan 2012. Jumlah zakat untuk Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2012 ini telah meningkat sebanyak 4.5% berbanding RM1,611,467.34 bagi tahun 2011.
Pembayaran zakat TH adalah berdasarkan kaedah modal kerja terlaras yang dilaksanakan mengikut pengiraan tahun kewangan semasa. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2012 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM41.2 juta.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut YB. Dato’ Mansor Bin Haji Othman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB. Dato’ Haji Abdul Malik Bin Abul Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Dato’ Haji Mokhtar Bin Mohd Jait, Pegawai Kewangan Negeri merangkap Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Haji Hassan Bin Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang serta para pegawai TH.
- Tamat –