Kuching, Sarawak, 3 April 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya kepada Tabung Baitulmal Sarawak berjumlah RM827,156.60.
Ketua Menteri Sarawak, YAB. Pehin Sri Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah menerima zakat tersebut bagi pihak Tabung Baitulmal Sarawak yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi TH, YBhg. Dato’ Kamarudin Mat Ali bertempat di Pejabat Ketua Menteri, Petrajaya, Kuching, Sarawak.
Pengagihan zakat TH ini adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan oleh TH untuk tahun kewangan 2012. Jumlah zakat untuk negeri Sarawak bagi tahun 2012 ini telah meningkat sebanyak 5% berbanding RM787,519 bagi tahun 2011.
Pembayaran zakat TH adalah berdasarkan kaedah modal kerja terlaras yang dilaksanakan mengikut pengiraan tahun kewangan semasa. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2012 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM41.2 juta. Negeri Sarawak merupakan negeri pertama yang menerima pembayaran zakat TH ini dan akan disusuli oleh negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah YB. Datuk Haji Daud bin Abd. Rahman, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) selaku 2 Pengerusi, Lembaga Baitulmal dan Wakaf, Sarawak, YBhg. Datu Haji Abang Mohd. Shibli bin Haji Abang Mohd Nailie, Pengurus Besar, Tabung Baitulmal Sarawak, YBhg. Tuan Haji Abang Shamshudin Abang Seruji, Pengarah, Jabatan Agama Islam Sarawak serta para pegawai TH.
- Tamat –
Tabung Haji Serah Zakat Perniagaan TH 2012 Kepada Negeri Sarawak