KOTA KINABALU, 8 Mac 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) memulakan siri jelajah penyerahan zakatnya sebanyak RM60.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 2016 kepada Majlis Agama Islam dan Pusat Pungutan Zakat negeri-negeri hari ini. Jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH 2016 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 1.69% (RM60.3 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM59.3 juta (2015).
YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH menyerahkan Zakat TH berjumlah RM1,048,485.95 kepada YB Datuk Haji Mohd Suhaili Haji Said, Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah dan disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dalam satu majlis ringkas di Istana Kota Kinabalu, Sabah.
YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani berkata, sebagai sebuah institusi Islam, TH menekankan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat berperanan mempertingkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf.
“TH memastikan pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat diseluruh negara dilaksanakan secepat mungkin agar wang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya. Pembayaran Zakat setiap awal tahun ini dapat membantu kemampanan programprogram zakat yang akan dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat Negeri-negeri. Saya menyarankan syarikat-syarikat korporat dan persendirian yang lain meningkatkan bayaran zakat agar pihak negeri dapat melaksanakan program secara lebih terancang dan berimpak tinggi kepada golongan asnaf” kata beliau.
Tahun ini TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui Program Iqra’, Program Ehsan, Program Baiti dan 2 Program Mobiliti. Program-program tersebut diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Suhaili Haji Said, Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS); Sahibus Samahah Datuk Haji Bungsu @ Aziz Bin Haji Jaafar, Mufti Negeri Sabah; Tuan Yusof b. Abas, Setiausaha MUIS; Tuan Haji Mohd Zaratkhan b. Haji Abd. Rahman, Ketua Penolong Setiausaha Zakat dan Fitrah; pegawaipegawai MUIS dan TH.
-Tamat-