KUALA LUMPUR, 6 MAC 2024 – Merujuk kepada kes pengeluaran tidak sah yang dilaporkan di media baru ini, Lembaga Tabung Haji (TH) telah mendapati bahawa pendeposit terlibat merupakan mangsa penipuan scammer dimana sejumlah RM12,000 telah dipindahkan melalui 5 transaksi dalam masa 4 hari.
Namun begitu, TH telah mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar, tiga hari sebelum aduan dibuat setelah mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan.
TH juga sedang melakukan siasatan atas perkara ini. Mangsa juga telah membuat laporan polis dan TH akan sentiasa bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia dalam sebarang siasatan ke atas kes penipuan siber.
TH sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak.
TH ingin menegaskan bahawa platfom atas talian THiJARI telah dibangunkan dengan ciri keselamatan yang menepati amalan terbaik di pasaran.
Aplikasi THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan yang dienkripsi, serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi tersebut disambung ke laman web rasmi THiJARI.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh berhubung dengan THCC di talian 03-6207 1919.
-TAMAT-