Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan platform laman perkhidmatan digital terbaharu untuk para pendeposit – “THiJARI” yang mula beroperasi pada hari ini.
Laman web THiJARI ini merupakan platform dalam talian bagi perkhidmatan kepada para pendeposit untuk menyemak akaun, mencetak penyata akaun, pindahan wang, perkhidmatan Haji dan urusan Kelab TaHa secara dalam talian. TH percaya dengan kemudahan ini, urusan para pendeposit akan lebih pantas dan mudah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff menyarankan para pendeposit perlu memastikan mereka telah mengemaskini maklumat ahli (termasuk maklumat nombor telefon bimbit) terlebih dahulu di kaunter TH atau boleh terus melayari https://www.thijari.com.my sekiranya telah pun mengemaskini maklumat yang diperlukan.
Pada majlis itu juga, TH memperkenalkan Kempen #simpandaftardanmenang yang bertujuan untuk menarik minat orang ramai terutamanya para pendeposit untuk menyimpan dan juga menambah simpanan mereka selain mendaftar haji.
Terdapat hadiah berupa pakej umrah dan wang tunai berjumlah RM300,000 untuk dimenangi di mana pendeposit TH yang berumur 18 tahun ke atas layak untuk menyertai kempen ini – dengan syarat; membuka akaun simpanan TH dan menambah simpanan sebanyak RM5,000 serta mengekalkannya simpanan dalam tempoh kempen. Selain itu pendeposit TH juga perlulah mendaftar haji untuk melayakkan mereka menyertai cabutan bagi kempen ini.
Tiga cabutan akan dilakukan oleh TH bagi Kempen ini; yang bermula dari Februari – April, di mana cabutan akan dilakukan pada bulan Mei; seterusnya bagi Kempen yang bermula Mei – Julai 2020, cabutan akan dibuat pada bulan Ogos 2020; dan bagi Kempen yang bermula Ogos – Disember 2020, cabutan akan dibuat pada Januari 2021.
“Buat julung-julung kalinya TH dapat mengadakan kempen seumpama ini selepas pertukaran konsep Tabungan TH kepada Wakalah daripada Wadi’ah Yad Dhamanah yang memberi nilai tambah dan manfaat yang lebih kepada pendeposit di samping mengekalkan kelebihan sedia ada seperti simpanan dijamin oleh kerajaan, agihan keuntungan tahunan, zakat pendeposit dibayar, patuh syariah dan lain-lain,” jelas YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen #simpandaftardanmenang serta laman web THiJARI ini, pendeposit boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berhampiran atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian +603-6207 1919.
05022020_PR_TH LANCAR PLATFORM LAMAN PERKHIDMATAN DIGITAL “THiJARI”.pdf