MADINAH, 10 Januari 2018 - Majlis Pelancaran Logo Tabung Haji (TH) untuk empat bangunan penginapan Jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia hari ini.
Peletakan logo rasmi TH di empat bangunan ini adalah lanjutan dari perjanjian pajakan hotel dengan syarikat Al-Rawda Investment For Real Estate Development & Project Management Ltd. (Al-Rawda) untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Peletakan logo ini turut memberi pendedahan jenama TH kepada masyarakat menginap di hotel-hotel tersebut sepanjang musim haji. antarabangsa yang mengenali TH sebagai salah sebuah organisasi terbaik dalam pengurusan haji. Logo TH yang dipaparkan di bangunan penginapan jemaah haji juga akan menjadi pengenalan dan memudahkan jemaah haji semasa menginap di hotel-hotel tersebut sepanjang musim haji.
Dalam ucapan aluan oleh YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH memaklumkan bahawa perjanjian pajakan jangka panjang yang dilakukan ini akan memberi kesan positif kepada TH kerana ianya dapat membendung kenaikan kos penginapan terus meningkat setiap tahun.
“Sejak penubuhannya lima dekad yang lalu, Tabung Haji telah berjaya memenuhi objektif membantu dan menjaga kebajikan para jemaah haji dalam urusan menunaikan rukun Islam yang ke lima”, tambah beliau lagi.
YAB Perdana Menteri turut mengambil kesempatan melawat bilik-bilik Jemaah Haji yang akan digunakan pada musim haji 1439H|2018M ini. Beliau berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan yang bakal disediakan TH kepada bakal jemaah haji Malaysia.
Turut hadir dalam majlis ini, YB Mejar Jeneral Dato Seri Jamil Khir Haji Bahrom, Menteri di JPM; YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dr. Mashhoor Ali Al Madodi, Pengerusi Al Rawda Investment for Real Estate Development & Project Management Limited dan Pengurusan Kanan TH.
-Tamat -