KUALA LUMPUR, 3 Januari 2018 - Lembaga Tabung Haji (TH) mengulas kepada pertanyaan pihak media mengenai kes jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) yang dilaporkan baru-baru ini.
Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, larangan lawatan ke ladang unta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dikeluarkan sejak Julai 2015 dan larangan ini masih kekal kepada semua Jemaah Haji Malaysia selagi virus ini tidak dapat dikawal sepenuhnya.
“TH dan KKM sentiasa bekerjasama dalam mempertingkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan MERS-CoV kepada bakal-bakal jemaah haji serta langkah-langkah pencegahan semasa kursus-kursus haji diadakan di seluruh negara. TH juga telah memastikan tiada program ziarah ke ladang-ladang unta di Tanah Suci sejak larangan tersebut dikeluarkan” tambah beliau lagi.
“TH juga menyeru agar para jemaah haji dan umrah serta syarikat umrah persendirian untuk mematuhi larangan tidak melawat ladang unta bagi mengelak jemaah haji dan umrah dijangkiti wabak MERS-CoV,” kata Datuk Seri Johan mengulas pertanyaan media mengenai isu tersebut.
Tamat