KUALA LUMPUR, 29 Disember 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) ingin menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan mana-mana maklumat berkaitan pelaksanaan ibadat haji 2021M/1442H yang telah tular di media sosial sejak beberapa hari yang lalu.
YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji TH berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan dengan urusan ibadat haji untuk tahun 2021M/1442H dari pihak berkuasa Arab Saudi.
Beliau turut memaklumkan bahawa, YB Menteri dan pengurusan kanan TH dijangka akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Haji Arab Saudi dan Menteri Agama Arab Saudi pada awal tahun hadapan. TH akan mengumumkan keputusan perbincangan dan kesepakatan yang akan diambil oleh pemimpin kedua dua negara berkaitan dengan ibadat haji.
Mesej dipercayai tular selepas Muzakarah Haji yang telah diadakan secara dalam talian (Webinar) selama tiga hari bermula 21 Disember 2020 yang lalu.
Sementara itu, TH menyarankan orang ramai agar jangan mudah mempercayai segala maklumat mengenai haji yang ditularkan dan merujuk hanya kepada TH bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan rasmi.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) kami di 03-6207 1919.
-Tamat-