KUALA LUMPUR, 22 Disember 2020 - Para pendeposit TH yang ingin membuat rayuan haji kini boleh menggunakan aplikasi THiJARI. Rayuan haji untuk tahun 1442H/2021M dibuka bermula hari ini 22 Disember 2020 sehingga 13 Februari 2021.
YB Datuk Dr. Zulkifli Al Bakri , Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata semasa merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37, kemudahan terbaharu ini dibina bagi membantu orang ramai membuat rayuan haji tanpa perlu menghantar surat rayuan ke pejabat-pejabat TH seperti tahun-tahun yang lalu, lebih-lebih lagi masyarakat kini terkesan dengan penularan wabak Covid-19.
Selain daripada rayuan haji, bakal haji boleh menyemak pendaftaran haji, status rayuan haji, status tawaran haji, jadual penerbangan serta pelbagai perkhidmatan lain seperti urusan simpanan dan pengeluaran melalui aplikasi THiJARI.
Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan diadakan secara dalam talian selama tiga hari bermula 21 Disember 2020 yang melibatkan 500 Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan turut disertai oleh pakar-pakar agama dalam menetapkan pendirian ibadat, keseragaman hukum-hakam dan mencari penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah.
Sebanyak lima (5) kertas kerja dibentang dan dibincangkan sepanjang muzakarah ini oleh Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang meliputi isu kemampuan mengerjakan haji semasa seluruh dunia dilanda wabak Covid-19. Tema Muzakarah Haji ialah, ‘Menghayati Istito’ah Haji dalam Menangani Wabak’.
Menurut YB Datuk Dr. Zulkifli Al Bakri, kemampuan bagi individu dalam melaksanakan rukun Islam yang ke lima ini memerlukan tubuh badan yang sihat, kecukupan perbelanjaan (kewangan), perjalanan yang aman untuk sampai ke Tanah Suci sama ada menggunakan jalan darat, laut mahupun udara.
“Seseorang bakal jemaah haji seharusnya menyiapkan bekalan yang cukup sepanjang perjalanan ke Tanah Suci serta keperluan menyediakan nafkah tanggungannya yang ditinggalkan sehingga kembali dari melaksanakan ibadah haji. Kewajipan bagi ibadat haji perlu kepada memenuhi syarat-syarat istito’ah,” tambah beliau.
Turut hadir semasa pelancaran secara dalam talian adalah YBhg. Tan Sri Md Nor Md Yusof, Pengerusi TH; YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH; dan YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abd. Rahman, Pengarah Eksekutif Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia.
-Tamat-