Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) hari ini melaksanakan Program Ikhtiar TH dengan peruntukan sebanyak RM145,610.00 kepada usahawan asnaf yang layak daripada pelbagai industri.
YBhg. Datin Hajah Nurlaila Said, Pengarah TH Negeri Sabah disertai YBhg. Datuk Seri Panglima Dr. Hasbullah Mohd Taha, Yang Dipertua MUIS hadir menyerahkan sumbangan kepada semua 43 orang usahawan asnaf dari beberapa daerah di Sabah yang rata-ratanya terlibat dalam industri perniagaan makanan dan jahitan.
“Melalui bantuan zakat sebagai suntikan modal perniagaan, TH dan MUIS berharap Program Ikhtiar ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan asnaf di negeri ini. Seterusnya, memastikan asnaf mampu berdikari dan memperbaiki kehidupan mereka dan keluar dari dibelenggu kemiskinan,” kata Datin Hajah Nurlaila Said.
Sumbangan yang diserahkan melalui Program Ikhtiar TH ini bertujuan memberi bantuan suntikan modal untuk membolehkan usahawan asnaf memula dan/atau meningkatkan perniagaan berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Antara objektif utama program adalah untuk membantu usahawan asnaf meningkatkan sumber pendapatan tambahan yang membolehkan mereka menaiktaraf hidup dan sosio ekonomi sedia ada.
Sejak tahun 2015, lebih 80 usahawan asnaf telah menerima bantuan melalui Program Ikhtiar TH dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat. Program seumpama ini jelas memperlihatkan keprihatinan TH terhadap keperluan masyarakat setempat khususnya golongan asnaf.
Turut hadir dalam majlis ini, pengurusan kanan MUIS, ahli keluarga para penerima serta anggota-anggota TH.
-Tamat-
27112018_TH Suntik Modal Lebih RM140Ribu Kepada Asnaf Negeri Sabah.pdf