Kuala Nerang, Selasa, 22 November 2016: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM178,000.00 kepada 356 orang pelajar dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Progam Iqra’ 2016 Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Dewan Perpaduan, Sarikei, Sarawak.
Para pelajar dari 15 buah sekolah terpilih di sekitar daerah ini menerima sumbangan berjumlah RM500 setiap seorang, berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai berjumlah RM300. Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Tuan Haji Muhamad Zahir bin Husin@Yusof, Timbalan Pengarah TH Negeri Kedah.
“Pengagihan sumbangan zakat di bawah Program Iqra’ ini bertujuan membolehkan pelajar asnaf dan kurang berkemampuan membuat persediaan bagi menghadapi sesi persekolahan 2017. Sumbangan ini juga sebagai suntikan semangat dan pendorong kepada para pelajar agar lebih berdaya maju dan cemerlang dalam pelajaran, seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi masing-masing,” kata Tuan Haji Muhamad Zahir bin Husin@Yusof.
Program Iqra’ yang mensasarkan pelajar asnaf seluruh negara ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh TH setiap tahun. Program yang dilaksanakan dalam bulan November ini mengunjurkan pengagihan zakat pendidikan berjumlah RM2 juta kepada 4,000 pelajar daripada 178 sekolah di seluruh negara. Sehingga hari ini, TH telah selesai melaksanakan majlis penyerahan sumbangan Program Iqra’ di sembilan buah negeri (Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Johor, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Melaka).
Sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial TH terhadap golongan asnaf dan kurang bernasib baik, program ini turut dilihat sebagai usaha menyokong inisiatif Kerajaan dalam membangunkan modal insan serta melestarikan komuniti Islam negara. TH berharap sumbangan ini dapat mendorong dan memberi motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, sekaligus menjadi pemangkin perubahan ke arah meningkatkan taraf sosio ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Encik Ahmad Lateh, Pegawai Pendidikan Daerah Padang Terap, pengetua–pengetua, guru-guru sekolah terpilih serta anggota TH.
-Tamat-
Program Iqra’ TH Beri Bantuan Kembali Ke Sekolah Pelajar Asnaf