Jerantut, Selasa, 22 November 2016: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM122,000 kepada 244 orang pelajar dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Progam Iqra’ 2016 Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Banquet, Jerantut, Pahang.
Para pelajar dari 16 buah sekolah terpilih di sekitar Daerah Jerantut ini menerima sumbangan berjumlah RM500 setiap seorang, berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai berjumlah RM300. Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Ahli Lembaga Pengarah TH.
“Pengagihan sumbangan zakat di bawah Program Iqra’ ini bertujuan membolehkan pelajar asnaf dan kurang berkemampuan membuat persediaan bagi menghadapi sesi persekolahan 2017. Sumbangan ini juga sebagai suntikan semangat dan pendorong kepada para pelajar agar lebih berdaya maju dan cemerlang dalam pelajaran, seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi masing-masing,” kata YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin.
Program Iqra’ yang mensasarkan pelajar asnaf seluruh negara ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh TH setiap tahun. Program yang dilaksanakan dalam bulan November ini mengunjurkan pengagihan zakat pendidikan berjumlah RM2 juta kepada 4,000 pelajar daripada 178 sekolah di seluruh negara. Sehingga hari ini, TH telah selesai melaksanakan majlis penyerahan sumbangan Program Iqra’ di sembilan buah negeri (Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Johor, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Melaka).
Sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial TH terhadap golongan asnaf dan kurang bernasib baik, program ini turut dilihat sebagai usaha menyokong inisiatif Kerajaan dalam membangunkan modal insan serta melestarikan komuniti Islam negara. TH berharap sumbangan ini dapat mendorong dan memberi motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, sekaligus menjadi pemangkin perubahan ke arah meningkatkan taraf sosio ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah YB. Dato’ Dr. Ahmad Shukri Bin Haji Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Tuan Haji Ali Afandi bin Abdul Majid, Pegawai Pendidikan Daerah Jerantut, Puan Hajah Musalimah Binti Mustaffa, Pengarah Negeri TH Pahang, pengetua–pengetua, guru-guru sekolah terpilih serta anggota TH.
-Tamat-