KOTA KINABALU, 8 September 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat berjumlah RM36,300 kepada 121 orang para pelajar berstatus asnaf di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) (SMP) Likas, Kota Kinabalu. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Penyerahan sumbangan zakat ini bertujuan membolehkan pelajar asnaf membuat persediaan bagi meneruskan sesi persekolahan sepanjang tahun 2020. Impak wabak COVID-19 telah mengakibatkan ramai pelajar khususnya dari kalangan mereka yang kurang berkemampuan tidak dapat meneruskan pembelajaran atas kekangan sumber pendapatan keluarga. Sumbangan ini juga diharap dapat memberi suntikan semangat dan pendorong kepada para pelajar agar lebih berdaya maju dan cemerlang dalam pelajaran, seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi masing-masing,” kata YB Menteri.
Pada program ini, YB Menteri turut menyampaikan sumbangan TH berjumlah RM10,000 kepada Wakil Persatuan Ibu dan Bapa (PIBG) SMP Likas bagi tujuan penambahbaikan surau sekolah.
TH komited dalam menjalankan program-program zakat bagi membantu golongan sasar khususnya golongan asnaf, dalam pembangunan ummah yang lestari serta mengukuhkan imejnya sebagai institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBhg. Dr. Haji Kassim bin Thusin, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam Sabah; YBhg. Datin Hajah Nurlaila Said, Pengarah TH Negeri Sabah; Wakil Pengurusan PIBG SMP Likas; Pengetua SMP Likas; para guru; dan anggota-anggota TH.
-Tamat-