KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2020 - Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan Puan Rina Sarif sebagai Ketua Pegawai Modal Insan yang baharu berkuat kuasa pada 3 Ogos 2020.
Sebelum menyertai TH, Puan Rina Sarif merupakan Pengurus Besar Sumber Manusia di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan juga pernah menjawat berbagai jawatan kepimpinan di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun syarikat multinasional. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran transformasi modal insan, pembangunan bakat yang turut bertanggungjawab dalam merangka dan melaksana strategi yang teguh serta progresif dalam membangunkan bakat-bakat baru untuk keperluan organisasi pada masa kini dan akan datang.
Pengalaman dan pencapaian beliau dalam bidang transformasi modal insan telah membawa pengiktirafan di peringkat global dan juga dianugerahkan ‘Top 101 Most Influential Global HR Leader 2019’ daripada World HRD Congress selain daripada beberapa anugerah peringkat Asia yang lain. Beliau merupakan ahli Majlis Penasihat Industri Universiti Utara Malaysia dan Panel Penasihat Human Resources Online.
YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, pelantikan Puan Rina Sarif adalah salah satu usaha pengukuhan TH dalam meletakkan barisan kepimpinan profesional ke arah menjadi institusi yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik.
-Tamat-