SEPANG, 1 OGOS 2023: Operasi Haji Musim 1444H/2023M telah berakhir dengan rasminya apabila kumpulan akhir jemaah haji Malaysia seramai 270 orang telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pesawat MH 8391 pada jam 1.15 tengahari hari ini.
Kumpulan jemaah haji yang berlepas pada Isnin, jam 10.50 malam(waktu Arab Saudi) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putra Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah Arab Saudi telah disambut oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato' Setia Dr. Hj Mohd Na'im Hj Mokhtar, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Hj Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman, Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan barisan Pengurusan Kanan TH.
Menurut YB Senator Dato' Setia Dr. Mohd Na'im, operasi haji pada tahun ini telah mencapai tiga (3) matlamatnya utamanya apabila berjaya membawa para jemaah haji negara melaksanakan kemuncak haji iaitu berwukuf di Arafah, memastikan keselamatan jemaah semasa pergerakan melibatkan Arafah, Muzdalifah dan Mina, serta memastikan keselesaan bagi jemaah semasa berada di Tanah Suci selama lebih 40 hari.
“Pengurusan Haji yang sistematik ini jelas menunjukan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dan TH yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan para jemaah haji kita,” tambah beliau.
“Disamping itu, pelbagai kemudahan dan perkhidmatan telah disediakan kepada para jemaah haji Malaysia agar mereka dapat menyempurnakan urusan haji ke arah mendapat haji yang mabrur,” katanya lagi.
“TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan dan dua peringkat sesi pascanilai haji (post-mortem) akan dilaksanakan pada bulan Ogos dan September ini untuk meneliti maklumbalas yang diterima dari semua sudut operasi. TH akan memperbaiki ke tahap yang lebih baik demi menyantuni para jemaah haji pada musim akan datang,” ujar YB Dato’ Setia Dr Naim lagi.
Semasa di Tanah Suci, TH telah mengedarkan borang kaji selidik kepada para jemaah, bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas akan tahap kepuasan mereka atas perkhidmatan yang telah diberikan oleh TH dan agensi berkaitan haji Arab Saudi sepanjang musim haji berlangsung.
Pengurusan haji Malaysia terus diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi sebagai antara yang terbaik dan menjadi model pengurusan haji contoh bagi negara-negara Islam serta masyarakat antarabangsa apabila sekali lagi menerima Anugerah Labbaitom daripada Kerajaan Arab Saudi tahun ini.
Menurut YB Dato’ Setia Dr Naim, jemaah haji Malaysia turut menerima pujian kerana sentiasa mengekalkan disiplin yang baik, berpengetahuan ketika melaksanakan ibadat dan mematuhi segala peraturan Kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Makkah dan Madinah.
TH berterima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Syarikat Mashariq, Kedutaan Besar diRaja Arab Saudi serta semua pihak di Malaysia samada agensi Kerajaan dan swasta yang telah menyumbang tenaga memberi perkhidmatan, menyantuni jemaah haji Malaysia samada di Tanah Air atau di Tanah Suci.
-Tamat-