KUALA LUMPUR, 3 Julai 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH dan YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH telah menamatkan tempoh kontrak perkhidmatan dua (2) tahun berakhir 30 Jun 2018 di TH.
YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah menyertai TH pada Januari 2015 sebagai Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH. Sebelum menyertai TH, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Berhad yang merupakan anak syarikat TH. Manakala YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani pula pernah menerajui Bahagian Perbankan Islam Kumpulan CIMB sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebelum menyertai TH pada 1 Julai 2016.
TH turut mengumumkan dua orang Ahli Lembaga Pengarahnya iaitu YBhg. Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin dan YBhg. Tan Sri Datuk Mohamad Aziz telah menamatkan tempoh kontrak berakhir 30 Jun 2018. YBhg. Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 1 Januari 2005 manakala YBhg. Tan Sri Datuk Mohamad Aziz dilantik pada 1 Januari 2011.
TH mengucapkan ribuan terima kasih kepada YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah, YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, YBhg. Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin dan YBhg. Tan Sri Datuk Mohamad Aziz di atas perkhidmatan mereka.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji
-Tamat-