KUALA LUMPUR, 20 JUN 2023 : Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa meneruskan usaha untuk memperkukuhkan keselamatan perkhidmatan digitalnya dengan menambahbaik kawalan teknologi demi keselesaan dan keselamatan urusan kewangan pendeposit.
Bermula 1 Julai 2023, TH mengambil langkah proaktif mengekang kes penipuan dalam talian dengan hanya membenarkan pemindahan wang daripada akaun simpanan TH ke akaun bank sendiri sahaja.
Pendeposit juga hanya boleh mengaktifkan kad ATM dengan akaun TH menerusi mesin ATM dan bukan melalui perkhidmatan perbankan dalam talian bank-bank rakan strategik TH.
“TH sentiasa cakna dan prihatin akan keselamatan urusan para pendeposit. Justeru itu, TH akan terus berusaha untuk memperkasakan lagi perkhidmatan digital TH demi keselesaan para pendeposit,” kata Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamad Ameen Abdul Wahab.
Langkah ini adalah salah satu usaha berterusan TH dalam memastikan para pendeposit tidak terjerat dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau ‘scammer’.
TH memandang serius akan penipuan yang berlaku melibatkan pendeposit melalui perbankan internet bank-bank rakan strategik TH dan sering mengingatkan para pendeposit untuk sentiasa berhati-hati dengan memastikan maklumat peribadi dan akses kata laluan platform perbankan internet tidak dikongsi dengan mana-mana pihak.
TH juga sentiasa melakukan kemaskini dan memperketatkan kawalan keselamatan teknologi sedia ada secara berterusan bagi memastikan semua transaksi yang dilakukan oleh pendeposit adalah selamat.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan TH, orang ramai boleh merujuk laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau terus menghubungi Pusat Panggilan TH (THCC) di talian 03-6207 1919.
-TAMAT