SEPANG, 6 JUN 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada 355 orang bakal Jemaah Haji Malaysia di Kompleks Haji TH, Sepang (Movenpick) hari ini.
Kumpulan yang terdiri daripada 210 bakal jemaah perempuan dan 145 bakal jemaah lelaki ini dijadualkan berlepas menerusi penerbangan Saudia Airlines (SV 5665) ke Jeddah pada pukul 5.35 petang dan dijangka tiba pada pukul 11:10 malam (waktu Arab Saudi).
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapan baginda mengucapkan tahniah kepada bakal-bakal haji kerana terpilih sebagai tetamu Allah SWT bagi Musim Haji 1444H/2023M.
Baginda juga menasihati para jemaah haji untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelaksanaan ibadat haji dan menggunakan peluang yang diberi dengan memperbanyakkan amalan wajib serta sunat sebagai tanda syukur atas segala nikmat yang telah diberi.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan jemaah haji untuk terus bersedia dari segi ketahanan mental dan fizikal, bersikap toleransi dengan satu sama lain sepanjang berada di Tanah Suci.
Pada musim haji kali ini, dijangka seramai dua juta umat Islam dari seluruh dunia akan menunaikan ibadat haji apabila Kerajaan Arab Saudi mengumumkan jumlah jemaah yang akan menunaikan haji pada tahun ini akan kembali seperti biasa seperti sebelum pandemik COVID-19, selain tiada sebarang had usia dikenakan kepada bakal jemaah haji yang ingin menunaikan rukun Islam kelima.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkata keadaan yang sesak di samping cuaca yang panas serta hujan yang tidak menentu di Tanah Suci pastinya mencabar. Justeru itu, semua jemaah haji serta para petugas dinasihatkan terus bersabar, bertoleransi serta tolong menolong tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.
Oleh itu, mengambil iktibar dari pelaksanaan haji, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berharap agar umat Islam di Malaysia terus bersatu hati tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara kita.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga mengucapkan syabas kepada Tabung Haji serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam menjayakan operasi haji pada tahun ini.
Beliau juga berbangga dengan persediaan dan usaha TH yang berterusan bertujuan untuk mengekalkan kualiti yang cemerlang dari aspek perkhidmatan,pengendalian dan pengurusan haji sekaligus menjadi contoh kepada negara- negara Islam lain di seluruh dunia.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri kemudiannya bersalaman dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji.
Penerbangan pergi bagi musim haji kali ini merangkumi 98 penerbangan yangbermula pada Sabtu, 20 Mei 2023 dan penerbangan akhir dijadualkan pada Ahad, 21 Jun 2023.
Majlis ini turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Hj Mokhtar, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, TYT Mesaad Ibrahim Al-Sulaim, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Hj Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman, Anggota Lembaga dan Pengurusan Kanan TH serta wakil-wakil Kementerian dan Agensi-Agensi Kerajaan.
-TAMAT-