PETALING JAYA, Selasa, 6 Jun 2017: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang RM100,000 kepada 200 orang asnaf fakir miskin di bawah program tanggungjawab sosial korporat tahunannya, Program Ehsan TH; di Dewan Serbaguna, Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya.
Tahun ini, Program Ehsan TH mensasarkan sumbangan kepada seramai 1,941 asnaf fakir dan miskin di seluruh negara. Sumbangan zakat hari ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, kepada penerima sumbangan zakat Program Ehsan TH yang terdiri daripada warga emas, ibu dan bapa tunggal serta orang kelainan upaya (OKU) yang miskin tegar.
“Program Ehsan yang kita adakan hari ini adalah salah satu dari program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH bersempena bulan Ramadhan, bertujuan untuk membantu ibu dan bapa tunggal, warga emas dan orang kurang upaya daripada golongan asnaf fakir miskin di seluruh negara. Program ini merupakan platform terbaik buat TH mendekati para penerima, selain mengeratkan lagi ikatan silaturrahim dengan komuniti setempat,” kata YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah.
Selaras dengan matlamat tanggungjawab sosial korporatnya, TH sentiasa komited dalam memainkan peranan dan menggalas tanggungjawabnya dengan baik. Selain Program Ehsan, TH turut sedang melaksanakan Program Ziarah Kasih Ramadan Al Mubarak 2017 yang dikendalikan Yayasan TH di 50 lokasi seluruh negara bersempena bulan Ramadan tahun ini.
Program-program seumpama ini jelas memperlihatkan keprihatinan TH terhadap keperluan masyarakat Islam setempat khususnya golongan asnaf.
Majlis ini turut dihadiri oleh YB Datuk Rosni Sohar, Ahli Lembaga Pengarah TH, YBhg. Datuk Rozaida Omar, Ketua Pegawai Kewangn Kumpulan TH, para pegawai TH serta keluarga penerima.
-Tamat