Kuala Lumpur, Selasa, 30 Mei 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan Majlis Menandatangi Ikrar Bebas Rasuah dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertempat di Bangunan TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Majlis yang julung-julung kali diadakan ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH. Majlis turut disertai oleh YBhg. Datuk Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH. Penganjuran majlis ini menyatakan sokongan berterusan TH dalam memerangi rasuah sejajar dengan amalan serta tadbir urus korporat yang terbaik.
“Dalam usaha memantapkan integriti dan pencegahan rasuah, TH kini menuju ke arah Persijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 37001. Beberapa pegawai TH telah dihantar untuk mengikut Bengkel Penyediaan Dokumentasi ABMS ISO 37001 ini. Saya juga berharap TH akan menjadi antara agensi terawal mendapat Pensijilan ABMS ISO 37001,” kata YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim.
TH serius dan prihatin dalam meletakkan nilai integriti sebagai satu misi utama bagi membanteras rasuah, bermula dengan usaha Menandatangani Corporate Integrity Pledge (CIP) pada April 2012 sehingga penubuhan Bahagian Integriti pada Oktober 2013. Selain itu, pelbagai usaha dan program telah dilaksanakan seperti pengwujudan Pelan Integriti TH, Kod Etika Perniagaan, Kod Etika Pembekal, Whistleblowing Policy, pembentukan Pelan CRM (Corruption Risk Management) TH 2 dan anak-anak syarikat TH, Pelancaran Bulan Integriti TH dan lain-lain program pendidikan berteraskan integriti. Inisiatif ini juga sebagai sokongan terhadap pematuhan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan bagi membentuk integriti sebagai satu budaya di TH.
Majlis turut dihadiri oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah TH, wakil daripada anakanak syarikat TH, pesuruhjaya-pesuruhjaya SPRM dan pengurusan kanan TH.
- Tamat –