Kuala Lumpur, 16 Mei 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) ingin menasihati para pendeposit agar tidak membiarkan akaun TH mereka tidak aktif - tanpa melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun. Akaun-akaun yang tiada transaksi melebihi tujuh tahun akan diklasifikasikan sebagai Akaun Tidak Aktif.
Para pendeposit yang mempunyai akaun TH tidak aktif boleh mengaktifkan semula akaun masing-masing dengan melakukan transaksi seperti masuk atau keluar wang serta mengemaskini maklumat seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris di mana-mana cawangan TH, Bank Islam dan Bank Rakyat di seluruh negara.
Pada masa ini, TH merekodkan lebih 41,000 akaun pendeposit yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun. TH akan memindahkan akaun-akaun tersebut ke kumpulan Akaun Tidak Aktif bermula 3 Jun 2017 yang menyebabkan akaun tersebut tidak layak menerima sebarang hibah.
Pendeposit yang telah kehilangan buku akaun bolehlah datang ke mana-mana cawangan TH dengan membawa kad pengenalan bagi tujuan semakan, penggantian buku baharu dan kemas kini maklumat.
Sekiranya ada di kalangan pendeposit yang telah meninggal dunia, waris masih boleh membuat permohonan untuk menuntut semula jumlah amaun yang diklasifikasikan sebagai Akaun Tidak Aktif tersebut dengan mengemukakan dokumen berkaitan.
Pengemaskinian akaun ini juga bertujuan untuk memudahkan TH menghubungi bakal-bakal haji serta mengelakkan kes surat tawaran haji tidak diterima kerana bertukar alamat.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) kami di 03-6207 1919.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan
Lembaga Tabung Haji
-TAMAT-