SEPANG, 8 MEI 2024 – Bagi memastikan bakal jemaah haji bersedia dengansebarang kemungkinan situasi kecemasan dan insiden luar jangka, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah melakukan simulasi latihan pengungsian bangunan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini.
Timbalan Pengarah Gerakan, Operasi Haji Tanah Air, Mohd Zawawi Bostam berkata latihan simulasi ini adalah rutin yang dilaksanakan pada setiap tahun menjelang musim haji bagi menguji cuba dan memeriksa Prosedur Operasi Standard (SOP) serta protokol pelan pengungsian sekiranya berlaku sebarang kecemasan ketika bakal jemaah haji berkumpul di KLIA sebelum berlepas ke tanah suci.
“Malam ini kita akan melepaskan kumpulan bakal haji pertama seramai 284 orang ke Arab Saudi dan TH akan mengurus bakal-bakal haji daripada seluruh tanah air di KLIA secara harian sehinggalah penerbangan terakhir pada 9 Jun nanti. Keperluan untuk mengadakan simulasi ini adalah penting bagi memastikan kesemua bakal haji termasuklah para petugas TH dan Malaysia Airports bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kecemasan seperti kebakaran, bencana, rusuhan, kecemasan dan sebagainya”, jelas beliau.
Pelaksanaan simulasi latihan pengungsian ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Kecemasan OHTA serta Pelan Kecemasan Aerodome (AEP) iaitu dokumentasi pelan yang dirangka sebagai langkah pengurusan kecemasan dan bencana bagi menyelaras tindakan yang wajar diambil dengan penglibatan unit operasi KLIA, agensi kerajaan serta pihak penerbangan.
“Keselamatan setiap bakal haji adalah keutamaan TH. Kami amat menghargai kerjasama rapat dan komitmen pihak Malaysia Airports dalam memastikan kelancaran operasi haji pada setiap tahun dan keselamatan bakal haji sentiasa dalam kawalan terbaik”, tambah beliau lagi.
Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang), Mohd Arif Jaafar berkata simulasi sebegini penting dalam memastikan keselamatan para jemaah haji terjaga sekiranya berlaku kecemasan.
"Sebagai pengendali lapangan terbang, kami kerap melaksanakan latihan kecemasan di setiap lapangan terbang kami dan kerjasama bersama TH ini merupakan salah satu daripadanya", jelas beliau.
Simulasi latihan pengungsian ini disertai 180 orang melibatkan para petugas TH dan MAHB, unit operasi KLIA, agensi pihak berkuasa serta pasukan perubatan dan keselamatan KLIA.
Simulasi yang sama telah diadakan di 4 buah stesen berlepas iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kedah; Lapangan Terbang Antarabangsa, Pulau Pinang; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.
-TAMAT-