SEPANG, 8 MEI 2024 – Kumpulan pertama bakal haji Malaysia bagi Musim Haji 1445H/2024M seramai 284 orang daripada negeri Kedah dan Kelantan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini untuk berlepas menerusi penerbangan sulung ke tanah suci pada tengah malam Khamis, 9 Mei 2024.
Penerbangan tersebut dijadualkan berlepas pada jam 12.05 tengah malam (9 Mei) dari KLIA dengan pesawat Malaysia Airlines MH 8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 3.50 pagi waktu tempatan pada hari yang sama.
Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman serta Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji hadir untuk meraikan perlepasan kumpulan pertama bakal haji tersebut di KLIA.
Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im telah meluangkan masa beramah mesra dengan para bakal haji, selain memberi pesanan dan kata-kata semangat buat mereka.
“Terpilih sebagai Dhuyufurrahman untuk mengunjungi Baitullahilharam adalah anugerah terindah dari Allah SWT bagi menyempurnakan ibadah rukun Islam kelima. Diharapkan kesemua bakal haji dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di tanah suci nanti”, kata beliau.
Beliau berkata cuaca di tanah suci dijangka panas boleh mencecah hampir 50 darjah celcius dan menasihati semua bakal haji untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri selain mengikuti segala nasihat yang disarankan pihak TH agar semua amalan haji dapat dilaksanakan dengan sempurna dan lancar.
“Saya mewakili pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar perjalanan bakal-bakal haji dipermudahkan oleh Allah SWT dan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna serta pulang dengan haji yang mabrur, Insya-Allah”, tambah beliau lagi.
Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im turut mengingatkan semua bakal haji untuk sentiasa menjaga imej dan nama baik negara dengan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi dan peraturan yang digariskan TH bagi menjamin keselamatan jemaah serta melicinkan proses mengerjakan haji.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi yang masih meneruskan program ‘Makkah Route’ yang membolehkan urusan imigresen Arab Saudi dilaksanakan semasa di KLIA lagi, sekaligus memendekkan waktu menunggu para bakal haji setibanya di Lapangan Terbang di Arab Saudi.
Sementara itu, Syed Hamadah menjelaskan pada tahun ini, sebanyak 100 penerbangan sewa khas haji menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke tanah suci dengan penerbangan pertama akan berlepas pada hari ini dan penerbangan terakhir dijadualkan pada 9 Jun 2024.
“TH telah membuat perancangan dan persiapan rapi sejak tamatnya operasi haji tahun lalu sebagai usaha memastikan kelancaran urusan jemaah haji Malaysia ketika menunaikan ibadat haji tahun ini” jelas beliau.
Bagi memastikan urusan ibadat haji jemaah negara berjalan lancar, TH telah mula menghantar para petugas haji ke Arab Saudi seawal 30 April lalu untuk membuat persediaan awal bagi menyambut ketibaan para tetamu Allah yang bakal tiba nanti.
-TAMAT-