Kota Kinabalu, Sabah 9 April 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya kepada Pusat Zakat Sabah berjumlah RM848, 899.59.
Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin telah menerima zakat tersebut bagi pihak Pusat Zakat Sabah yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Abdul Halim Md. Jamil, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH bertempat di Istana Negeri, Kota Kinabalu, Sabah.
Pengagihan zakat TH ini adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan oleh TH untuk tahun kewangan 2012. Jumlah zakat untuk negeri Sabah bagi tahun 2012 ini telah meningkat sebanyak 9% berbanding RM781,521 bagi tahun 2011.
Pembayaran zakat TH adalah berdasarkan kaedah modal kerja terlaras yang dilaksanakan mengikut pengiraan tahun kewangan semasa. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2012 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM41.2 juta. Negeri Sabah merupakan negeri kedua yang menerima pembayaran zakat TH ini selepas negeri Sarawak dan akan disusuli oleh negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah YBhg. Datuk Suhaili Said, Pengerusi MUIS, YBhg. Datuk Haji Amri A. Suratman, Setiausaha MUIS dan Sahibul Samahah Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, Mufti Negeri Sabah serta para pegawai TH.
- Tamat –
Tabung Haji Serah Zakat Perniagaan 2012 Berjumlah RM848,899.59 Kepada Pusat Zakat Sabah