KUALA LUMPUR, SELASA, 4 APRIL 2023 – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah menguatkuasakan penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio bagi tujuan permohonan visa haji bakal haji ke Arab Saudi tahun ini.
Pengarah Eksekutif Haji, YBhg Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menggesa semua bakal haji memuat turun sendiri aplikasi Saudi Visa Bio pada telefon pintar masing-masing menerusi Google Play store atau Apple app store.
Ia merangkumi empat (4) proses mudah iaitu:
i. Melengkapkan alamat e-mel
ii. Memuatnaik imbasan muka surat butiran peribadi dalam pasport Malaysia
iii. Imbasan muka
iv. Imbasan 10 jari (biometrik)
“Bakal haji akan menerima emel pengesahan pendaftaran daripada Kementerian Luar Arab Saudi apabila maklumat peribadi telah berjaya dimuat naik ke dalam aplikasi tersebut melalui emel yang didaftarkan.
Bakal haji juga diingatkan untuk terus menyerahkan pasport mereka kepada TH setelah mendapat pengesahan ini bagi TH memproses visa haji bakal haji berkenaan”, kata Dato’ Sri Syed Saleh.
“Aplikasi Saudi Visa Bio merupakan satu lagi inovasi baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada musim haji tahun ini, bertujuan untuk memudahkan permohonan visa selain memendekkan tempoh prosedur kemasukan bakal haji ke Tanah Suci melalui Jeddah dan Madinah” jelas Dato’ Sri Syed Saleh.
Tambah beliau lagi, Malaysia merupakan antara lapan (8) negara terawal di dunia selain Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kuwait, United Kingdom, Tunisia dan Morocco yang dipilih untuk projek perintis ini mengambil kira reputasi Malaysia sebagai antara pengendali haji terbaik dunia yang telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan kemudahan dari kerajaan Arab Saudi.
Untuk maklumat lanjut mengenai penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio ini sila layari laman web rasmi www.tabunghaji.gov.my atau Media Sosial Rasmi TH . Sila hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 untuk perkhidmatan TH yang lain.
-Tamat-
PODCAST - Saudi Visa Bio